1. MAKSUD MUJADDID
Di zaman ketika masih ada Nabi dan Rasul, manusia merujuk kepada para nabi dan Rasul utusan Tuhan. Ketika kenabian sudah ditutup dengan kedatangan Rasulullah SAW manusia diminta bertanya kepada para ulama yang haq, ulama pewaris nabi.
Firman Allah SWT : “Bertanyalah kamu kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.”
Untuk menyelamatkan umat Islam, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, setiap awal kurun, Allah kirimkan kepada umat Islam ini ulama besar yang bertaraf mujaddid (pembaharu).
Rasulullah saw pernah bersabda : ‘Sesungguhnya ALLAH akan mengutus pada umat ini (umat Rasulullah) setiap awal 100 tahun seorang mujaddid yang membaharui urusan agamanya. ”
Mujaddid berasal dari perkataan jaddada
yujaddidu, tajdidan, mujadidun, mujaddidun
Jaddada :dia telah membaharui
yujadidu :dia sedang atau akan membaharui
tajdidan :pembaharuan
mujadidun :orang yang membawa pembaharuan
Mujaddid maknanya orang yang membawa pembaharuan. Mujaddid itu bahasa Arab, dalam bahasa Inggeris dikatakan “Reformer”yang ertinya Pembaharu.
Apakan maksud memperbaharui urusan agama? Adakah dia membaharui isi Al Quran, atau isi Hadis atau isi Islam? Tidak. Ia tetap membawa Al Quran, Hadis dan akhlak Islam, isi yang lama yang pernah dibawa oleh Rasulullah SAW. Tetapi ia mendapat ilham dari Allah dan membawa satu penafsiran baru tentang Al-Qur’an dan Hadis.
Penafsirannya yang bersumber dari ilham itulah yang paling tepat dan sesuai untuk diamalkan di zaman itu. Dia tidak hanya menafsirkannya tetapi juga mengamalkan tafsiran tersebut dalam diri, keluarga, jamaah dan perjuangannya. Dialah Al Qur’an dan ‘hadis berjalan’ di kurun itu.
Hasil dari keindahan Islam yang dibawa dan diperjuangkannya, banyak orang yang sangat fanatik dalam mencintai dan mengikutinya, tetapi tidak kurang juga yang sangat menentangnya, kerana tidak faham atau hasad dengki dengannya.


2. KEDATANGAN MUJADDID MEMPERBAIKI YANG ROSAK


Dengan kasih sayang Tuhan, selepas kewafatan Rasulullah SAW didatangkan setiap seratus tahun seorang mujaddid. Kedatangan seorang mujaddid yang membawa satu kaedah, cara teknik dan metod baru yang sesuai di kurunnya, bertujuan untuk memperbaiki yang rosak di waktu itu. Metod itu hanya menyangkut perkara yang telah rosak saja. Supaya yang rosak itu dapat dibetulkan dengan menggunakan metod yang baru.
Ini bererti, semakin kehujung semakin banyak yang rosak dan perlu dibaiki, makin banyaklah yang hilang, banyak yang rosak, banyak yang biasa wujud sudah tidak wujud lagi. Ertinya mujadid yang datang makin ke hujung, makin berat tanggung jawabnya. Sebab makin ke hujung makin banyak perkara dalam agama Islam yang sudah rosak.
Kalau begitu, tugas mujaddid pertama tidaklah seberat mujadid kedua. Tugas mujadid kedua tidak seberat mujaddid ketiga. Juga tugas mujadid ketiga tidak seberat mujaddid keempat. Tugas yang keempat tidak seberat yang kelima dan begitulah seterusnya.
Sebagai contoh, mujaddid pertama ialah Sayidina Umar bin Abdul Aziz. Dia membawa pembaharuan hanya berkaitan dengan masalah negara saja. Dia tidak menyentuh soal ibadah, akhlak, masyarakat atau ekonomi. Sebab di zamannya semua aspek itu tidak rosak. Yang rosak ialah soal pemerintahan negara.
Begitu juga kedatangan mujaddid kedua, Imam Syafie. Dia datang bukan untuk membetulkan masalah ibadah, akhlak, ekonomi, atau masyarakat. Dia menyelesaikan hal-hal mengenai ulama. Sebelum kedatangan Imam Syafie, ulama-ulama memberi fatwa tanpa ada kaedah atau cara. Pada masa itu, orang membuat hukum dan fatwa tidak mengikut prosedur. Maka Imam Syafie pun membuat kaedah. Lahirlah dua kaedah yaitu usul fiqh dan khawaidul fiqhiyah. Sampai sekarang ulama menerima dan memakai kaedah ini. Jadi Imam Syafie datang untuk menyelesaikan masalah ijtihad.
Di waktu kedatangan mujaddid ketiga, Imam Abu Hassan Asyaari, yang rosak adalah aqidah. Sebab di waktu itu Islam sudah mulai meluas, falsafah Barat dan Yunani sudah meresap masuk ke dalam Islam. Jadi mujaddid ini tidaklah menyentuh hal-hal ekonomi, akhlak dan ibadah, tetapi membetulkan aqidah yang sudah keliru. Sebab itu ada kaedah sifat 20 itu dalam ilmu tauhid dan usuluddin.
Begitulah pula datang mujaddid seterusnya, Imam Fakhrurrazi. Dia membuat kaedah bagaimana mentafsirkan Al Quran.
Kemudian, kerosakan semakin bertambah berat. Islam sudah terpecah-pecah. Ibadah sudah tidak ada hubungan dengan akhlak. Aqidah pula seolah-olah tersendiri.


3. CIRI MUJADDID DAN JEMAAHNYA


TERCATAT dalam sejarah, jemaah yang dipimpin oleh mujaddid luar biasa kepemimpinannya. ALLAH membantu mereka dengan membekalkan ilmu, kemampuan dan kegigihan yang luar biasa sehingga pemerintah di zamannya segan dan takut dengan jemaah dan pimpinannya.
Allah membekalkan ilmu ilham dan karamah kepada mereka dalam memperjuangkan agama Allah. Mereka sangat berwibawa kerana ketaqwaan mereka. Pengikut mereka, walau sedikit, sangat taat setia, kuat beramal dan dapat membangunkan kesyumulan Islam dalam jemaahnya.
Namun begitu walau bagaimana hebat pemimpin dan pengikut-pengikut jemaah itu, mereka tidak dapat menguasai negara, kecuali mujaddid kurun yang pertama : Saiyidina Umar bin Abd. Aziz.
Selainnya, mereka hanya dapat membangun Islam dalam jemaah dan pengikut-pengikutnya saja sehingga berpengaruh di tengah-tengah masyarakat dan disegani oleh pemerintah di zamannya.
Kerana itulah pemimpinnya selalu diburu oleh pemerintah dan dimusuhi oleh ulama-ulama suk (jahat) di zamannya.
Kebiasaannya, jemaah yang dipimpin oleh seorang mujaddid, ia bukan bertaraf ummah, ia hanya bertaraf tho’ifah (jamaah).
Tho’ifah- tho’ifah inilah yang dilahirkan oleh ALLAH setiap masa, setiap zaman dan setiap kurun dengan tujuan untuk menjaga bara api Islam agar tidak padam.
Inilah diantara mafhum hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Akan berlaku di akhir zaman orang yang mempertahankan agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.” Riwayat at Tarmizi
Mereka bukan menyalakan api kerana yang dapat menyalakan api hanya di zaman ummah. Tho’ifah hanya dapat menjaga bara api.
Itulah yang dimaksudkan olah Allah dalam firmanNya:
“Mereka [orang-orang] kafir ingin memadamkan cahaya [agama] Allah dengan mulut[ucapan-ucapan] mereka dan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya meskipun orang2 kafir tidak menyukainya [As Shaff :8]
Apakah wujud kumpulan thoi’fah ini? Selagi dunia ini ada hingga dunia ini dikiamatkan, tho’ifah pasti wujud sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:
‘Akan senantiasa ada tho’ifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah datangnya ketentuan Allah [Kiamat] – Riwayat Muslim
Thoi’fah-tho’ifah ini wujud antara dua zaman ummah [ zaman salafussoleh dalam lingkungan 300 tahun pertama], sampai zaman kebangkitan Islam di akhir zaman. Mereka dapat mewujudkan kebenaran Islam dalam seluruh aspek kehidupan manusia dan membangun kesyumulan Islam dalam jemaahnya atau zohirina-alal- haq’.
Kenaikan pemimpinnya luar biasa, terpilih bukan hasil pemilihan dan angkat tangan. Mereka juga mempunyai pengaruh ke atas masyarakat serta disegani oleh pemerintah di zamannya. Kumpulan thoi’fah ini yang berjuang di setiap kurun untuk menzahirkan [merealisasikan] kebenaran Islam di dalam seluruh aspek kehidupan dan mereka tidak dapat dilemahkan atau dihancurkan oleh para penentangnya sekalipun mereka bekerja sama untuk melakukannya.”
Di antara ciri yang terpenting adalah setiap mujaddid ini mesti zahir di awal kurun. Sebab itu walau bagaimana hebat sekalipun ketokohan pejuang-pejuang Islam dan memang menepati syarat yang sudah dijelaskan di atas, ia juga tidak dianggap thoifah mujaddid sekiranya ia tidak zahir di awal kurun.
Di antara ciri yang terpenting lainnya adalah perjuangan mujaddid itu mendapat tentangan yang hebat terutama dari kalangan pemerintah dan ulama suk (ulama yang ada kepentingan) di zamannya. Tetapi jemaahnya tidak dapat dihancurkan oleh para penentangnya sekalipun mereka bekerja sama untuk melakukannya, sebab Tuhan yang menjadi pembelanya.
Mereka diberi ilham dan isyarat-isyarat ghaib oleh Allah tentang perjuangan mereka dan usaha-usaha musuh-musuh Islam dalam menentang perjuangan mereka. Kerana itu mereka selalu berada di depan strategi dan perancangan musuh-musuh mereka.
Sebab itu walau bagaimana hebat sekalipun ketokohan pejuang-pejuang Islam dan memang menepati syarat yang sudah dijelaskan di atas, ia tidak dianggap thoifah mujaddid sekiranya ia dapat dihancurkan oleh para penentang-penentangnya.




This entry was posted on 6:17 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

0 comments: